Wednesday, June 30

kasut tinggi punca mandul?

entry menarik yang aku jumpa waktu bermalasan time keje...;p

Bahaya Bertumit Tinggi



Oleh QAMARUL MUNIRAH SAID
BERKASUT tumit tinggi memang kegemaran sebahagian besar wanita. Selain sebahagian daripada fesyen, penampilan akan nampak lebih bergaya dan elegan apabila mengenakan kasut bertumit tinggi.
Bagaimanapun, kecenderungan ini boleh mengundang bahaya dan masalah kesihatan lebih-lebih lagi bagi wanita hamil.
Kajian dibuat Persatuan Ortopedik Kaki Amerika Syarikat mendapati wanita yang mengenakan sepatu bertumit tinggi sekurang-kurangnya tiga sentimeter (cm) akan meningkatkan tekanan pada lutut sehingga 26 peratus.
Keadaan ini akan mengundang penyakit sendi dan osteoporosis. Malah, ia juga boleh mengakibatkan berasa sakit pada kuku, bengkak jari kaki sehingga menjadi radang kulit, kesakitan pada punggung dan inflamasi pada tendon sehingga mengundang kesakitan pada bahu, lutut, siku, pergelangan kaki juga tangan.
Menurut Pakar Perbidanan dan Ginekologi, Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Kuala Lumpur, Dr. Asmah Yun Mat Sidek, wanita yang mengandung seharusnya mengelak daripada memakai kasut yang bertumit lebih daripada satu setengah inci (3.8 cm).
Malah, dengan ketinggian begitupun, ia tidak boleh dipakai lebih dari tiga jam setiap hari secara berterusan.
Ini kerana, sewaktu mengandung pusat graviti mengalami peralihan manakala pelvis berubah bentuk dan menanggung bebanan berat yang bertambah di sebabkan oleh bayi yang dikandung.
Ia akan mengubah cara wanita yang hamil berjalan. Malah kedudukan wanita yang hamil menjadi kurang stabil lebih-lebih lagi apabila memakai kasut bertumit tinggi.
“Bila kedudukannya kurang stabil atau tidak seimbang, risiko untuk jatuh juga adalah tinggi dan mendatangkan akibat yang buruk kepada ibu dan juga anak yang dikandung.
“Apabila seseorang ibu hamil itu terjatuh, ia akan menyebabkan pendarahan di belakang uri (placenta abruption), yang mana uri akan terpisah daripada dinding uterus.
“Pendarahan akan berlaku disebabkan oleh uri dan dinding uterus ini telah terpisah. Jika ia melibatkan pendarahan yang banyak, kemungkinan besar boleh memberi kesan kepada ibu dan kandungannya.

“Pendarahan yang banyak berkemungkinan besar boleh membahayakan bayi malah mungkin boleh meragut nyawa bayi yang dikandung selain turut memberi kesan kepada ibu tersebut,” jelas Dr. Asmah Yun.

Tambah Dr. Asmah lagi, antara faktor lain yang tidak membenarkan seseorang ibu hamil memakai kasut tumit tinggi kerana mereka akan mudah mengalami sakit belakang.
“Wanita biasa yang tidak mengandung juga mudah mengalami sakit belakang jika memakai kasut tinggi lebih-lebih lagi yang bertumit halus.
“Begitupun, risiko kesakitan itu lebih tinggi pada wanita mengandung iaitu antara 70 peratus sehingga 80 peratus,” ujarnya.
Pemakaian kasut tumit tinggi juga boleh menyebabkan perubahan pada postur tubuh, di mana pelvis akan terkehadapan dan terjadinya lengkungan pada bahagian belakang.
Ini ditambah lagi dengan berat bayi yang dikandung menyebabkan badan terdorong ke hadapan dan memudahkan ibu-ibu hamil mengalami sakit belakang.

“Kesakitan juga akan dialami pada bahagian tulang pelvis, lutut, betis dan tumit. Selain itu, ligamen akan mudah terkoyak disebabkan oleh hormon-hormon estrogen, progestron dan relaxin yang banyak semasa mengandung yang berfungsi bagi membentuk sistem pemprosesan air susu,” katanya.

Menurut Dr. Asmah, kekerapan memakai kasut tumit tinggi semasa mengandung juga menyebabkan otot-otot betis akan menjadi sakit dan kejang.

“Kaki akan menggunakan tenaga yang banyak ketika memakai kasut tumit tinggi terutamanya pada betis.

“Asid lactic akan terkumpul pada bahagian itu dan mengakibatkan kekejangan otot,” katanya.
Kekejangan otot ini juga berlaku disebabkan terdapat 40 hingga 50 peratus lebihan darah dalam sistem badan yang perlu dipam ke seluruh badan.
Apabila berjalan dan bergerak, otot betis akan bertindak seperti pam dan membantu darah mengalir menentang graviti, menyokong ke arah hati.
Organ hati wanita hamil akan membesar sewaktu mengandung kerana hati terpaksa bekerja keras mengepam lebihan darah tadi dalam badan. Pada ketika ini, denyutan jantung akan bertambah.
Pada waktu malam, hati tidak dapat bekerja sepenuhnya bagi mengepam darah ke bahagian kaki. Cecair boleh ‘terkumpul’, menyebabkan peredaran akan menjadi lambat dan urat-urat di bahagian kaki akan membengkak. Cecair ini boleh menyumbang kepada terjadinya kekejangan otot dan sakit kaki.
ika tanda-tanda seperti di atas di alami oleh wanita yang hamil, mereka dinasihatkan untuk melihat semula jenis kasut yang dipakai.
Menurut Dr. Asmah lagi, dengan perut yang membesar dan payu dara yang juga ikut membesar, wanita hamil seolah-olah hilang upaya untuk berjalan atau menaiki tangga.
Mereka akan berasa mengah dan nafas tercungap-cungap apabila berjalan agak lama dan jauh kerana terpaksa membawa badan yang begitu berat.
Bagi kelihatan bertenaga dan boleh berjalan dengan cergas, elakkan daripada memakai sepatu tumit tinggi yang boleh menyebabkan betis dan bahagian kaki anda terasa penat dan kejang.
Digalakkan memakai kasut tanpa tumit yang lembut ataupun jika masih berkeinginan untuk bergaya seperti wanita yang lain, pilihlah yang setinggi satu atau dua inci sahaja.
“Wanita yang hamil ini di nasihatkan memakai kasut jenis kulit atau kanvas yang berudara kerana kasut jenis ini tidak akan memerangkap lembapan.
“Untuk lebih selesa, mereka digalakkan memakai kasut sukan kerana ia akan memberi keseimbangan.
“Jika masih berkeinginan untuk bergaya dengan kasut tumit tinggi, disarankan memakainya ketika kandungan belum lagi mencecah usia enam bulan,” katanya.
Tambahnya, selepas enam bulan, lebih baik memakai kasut yang bertumit rendah dan lebar bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Tip untuk penjagaan kaki semasa mengandung:
* Elak berdiri untuk jangka masa yang panjang tanpa rehat.
* Memakai stoking dengan kasut bertutup akan menambah keselesaan pada kaki. bagus4

* Mengangkat atau meninggikan kaki apabila perlu dan jika kaki mengalami kesakitan, cuba rendam kaki untuk seketika.


No comments:

Post a Comment

thanks for ur time dear..